• 2025-08-05 11:39 AM

KUALA LUMPUR: Lapan warga tempatan antara 15 individu disyaki tekong darat ditahan polis dalam 10 serbuan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) di Selangor sejak 1 Januari lepas hingga semalam.

Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) SAC Hakemal Hawari berkata turut ditahan dalam tempoh berkenaan ialah tujuh tekong darat warga Indonesia dan 224 pendatang tanpa izin.

“Dalam dua serbuan menerusi ATIPSOM pada 21 Jun dan 22 Julai lepas, anggota PGA turut merampas dadah disyaki syabu seberat 10.355 kilogram dan pil ekstasi seberat 3.6 kilogram serta kenderaan keseluruhannya dianggar bernilai RM1.5 juta,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata kejayaan tangkapan dan rampasan berkenaan hasil pelbagai pendekatan strategik dalam membanteras jenayah penyeludupan khususnya di sempadan perairan Malaysia melibatkan pantai Selangor serta pantai barat Johor.

Hakemal berkata sebanyak 288 serbuan dijalankan dalam tempoh sama meliputi kawasan di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“Hasilnya, sebanyak 1,005 individu ditahan dan pelbagai rampasan dilakukan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1.1 bilion,” katanya.

Beliau berkata kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan PGA dalam membanteras jenayah yang mengancam keselamatan dan kesejahteraan negara.

“Orang ramai digesa menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah sebagai mata dan telinga pasukan keselamatan bagi memastikan sempadan negara kekal bebas daripada pencerobohan serta aktiviti haram,” katanya. - Bernama