KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,596 daripada 13,304 koperasi kluster mikro didapati tidak aktif, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan memberitahu persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata kementeriannya melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) komited membantu meningkatkan keupayaan koperasi kluster mikro dengan mengadakan beberapa inisiatif dan program bagi meningkatkan keupayaan koperasi mikro itu.

“Antaranya kita memberikan bimbingan dan khidmat nasihat pengurusan rekod khusus kepada koperasi mikro melalui Program Pemerkasaan Akaun Koperasi (PKASA) yang melibatkan sebanyak 4,051 koperasi dengan peruntukan RM1.4 juta dari 2021 hingga kini.

“Selain itu, kita juga melaksanakan Program Bantuan Perakaunan dan Pengauditan (PAKAR) merangkumi bantuan bagi penyediaan akaun dan pengauditan kepada koperasi mikro melibatkan 500 koperasi dengan peruntukan RM1.06 juta bermula pada 2020 hingga kini,“ katanya pada sesi soal jawab hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Lim Pay Hen yang ingin tahu sejauh mana penelitian Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terhadap koperasi mikro yang tidak aktif dan inisiatif membantu memulihkan koperasi mikro yang mengalami kesukaran untuk beroperasi.

Bagi pelaksanaan program pemulihan koperasi tidak aktif, khususnya bagi koperasi yang berpotensi untuk dimajukan serta mempunyai aset, Ramanan berkata kerajaan telah memperuntukkan RM3.551 juta melibatkan 65 koperasi di bawah Program Pengukuhan Koperasi (PPK) pada 2020 hingga 2022.

“Perkara ini juga membabitkan padanan perniagaan dan jaringan kerjasama termasuk pengenalan produk dan perkhidmatan melalui kerjasama dengan koperasi atau syarikat lain,“ katanya.

Ramanan berkata KUSKOP turut menyediakan kemudahan pembiayaan seperti Pembiayaan Koperasi Mikro (MicCoopFi-1) dan Pembiayaan Permulaan (SuFi-1) yang menawarkan pembiayaan hingga RM100,000 dalam usaha meningkatkan potensi dan pertumbuhan perniagaan koperasi terbabit.

Open Two Websites with Image

Clickable Image