Your Title

JOHOR BAHRU: Sebanyak 19 pelajar yang menyertai Kejohanan Akuatik Majlis Sukan Sekolah Johor (MSSJ) 2024 di Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Arena Larkin pada Selasa hingga Khamis lepas, dirawat di hospital selepas dipercayai mengalami pelbagai gejala termasuk muntah, demam dan kulit gatal.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata bagaimanapun berdasarkan laporan terkini, hanya seorang pelajar masih dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Beliau berkata susulan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Johor sedang mengkaji tahap air di pusat akuatik berkenaan.

“Kita dapat laporan, 900 peserta ambil bahagian dalam kejohanan itu dan 19 daripadanya telah dimasukkan ke hospital setelah menyertai kejohanan terbabit.

“Tahap air di sini (Pusat Akuatik MBJB Arena Larkin) sedang dikaji, sama ada ia memberi kesan kepada 19 pelajar tersebut. Insya-Allah keputusan laporan dapat pada Isnin (esok),” katanya pada sidang media selepas melawat pusat akuatik berkenaan hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor Aznan Tamin.

Onn Hafiz turut mendoakan kesejahteraan kesemua pelajar yang terkesan sekali gus menjelaskan pusat akuatik itu akan ditutup buat sementara waktu untuk keselamatan orang ramai.

Beliau berkata pusat akuatik itu akan dibuka setelah kerja-kerja baik pulih dilakukan termasuk dari segi infrastruktur kolam renang dan kolam terjun yang dilihat telah berkarat.