• 2025-07-14 10:26 AM

KUANTAN: Seramai 194 saman trafik telah dikeluarkan oleh pihak polis dalam Ops Samseng Jalanan yang dijalankan di sekitar bandar raya Kuantan. Operasi bermula dari jam 4 petang hingga 11 malam semalam turut menyita 24 motosikal.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Supt Mohd Adli Mat Daud, berkata operasi itu dilaksanakan berikutan aduan awam mengenai kegiatan lumba haram dan aksi motosikal berbahaya yang kerap berlaku pada hujung minggu.

“Saman dikeluarkan kepada 65 individu berusia antara 15 hingga 25 tahun,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Dalam operasi sama, seorang lelaki berusia 18 tahun ditahan kerana melakukan aksi wheelie secara melulu di jalan awam. Mohd Adli menegaskan bahawa tindakan sebegini bukan sahaja membahayakan penunggang tetapi juga pengguna jalan raya yang lain.

“Penunggang tersebut sedang disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa kesalahan seperti ini boleh membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, denda RM5,000 hingga RM15,000, atau penggantungan lesen memandu.

“Orang ramai, terutamanya belia, dinasihatkan agar tidak menjadikan jalan raya sebagai tempat perlumbaan atau aksi berbahaya,” tegasnya.