MANILA: Sekurang-kurangnya dua tentera maut manakala seorang lagi cedera akibat diserang hendap puak pemberontak di utara Filipina pada pagi Khamis.
Jurucakap tentera Kapten Rigor Pamittan berkata seorang lagi tenteranya gagal dikesan selepas serangan itu.
Pamittan berkata pasukan tentera sedang membantu mangsa gempa bumi di bandar Malibcong di utara wilayah Abra, Luzon sebelum pemberontak New People’s Army (NPA) melancarkan serangan hendap, lapor Xinhua.
Hampir 40 penduduk tempatan dilaporkan cedera akibat gempa bumi berukuran 6.4 pada skala Richter yang melanda wilayah Abra lewat malam Selasa.
Gempa bumi itu turut merosakkan kediaman dan bangunan,termasuk gereja berusia berabad-abad di wilayah itu.
Pemberontak NPA menyerang kerajaan sejak 1969 dan menumpukan serangan di kawasan luar bandar.
Data ketenteraan mendedahkan bahawa NPA kini dianggotai 2,000 anggota iaitu lebih rendah berbanding 1980-an. - Bernama