• 2025-07-21 12:50 PM

KUALA LUMPUR: Akta BERNAMA (Pindaan) 2025, Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 dan Akta Majlis Media Malaysia 2025 adalah antara 20 akta yang telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata akta lain ialah Akta Perlembagaan (Pindaan) 2025, Akta Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2025, Akta Ordinan Buruh Sarawak (Pindaan) 2025, Akta Syarikat Labuan (Pindaan) 2025 dan Akta Amanah Labuan (Pindaan) 2025.

Turut diperkenan Seri Paduka Baginda ialah Akta Yayasan Labuan (Pindaan) 2025, Akta Perkongsian Terhad dan Perkongsian Liabiliti Terhad Labuan (Pindaan) 2025, Akta Profesion Undang-Undang (Pindaan) 2025, Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2025.

“Akta lain ialah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Pindaan) 2025, Akta Kumpulan Wang Yayasan Tunku Abdul Rahman (Pindaan) 2025, Akta Perbekalan Tambahan (2024) 2025 dan Akta Perlembagaan (Pindaan 2) 2025.

“Turut diperkenan, Akta Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2025, Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 dan Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan) 2025,” katanya dalam pemakluman pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, dalam pemasyhuran bersempena dengan Mesyuarat Kedua hari ini, Johari berkata sidang berkenaan akan berlangsung selama 24 hari dengan tumpuan utama kepada pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Sehubungan dengan itu, katanya mesyuarat kali ini dijangka kerap bersidang hingga waktu malam bagi membolehkan Ahli Parlimen berbahas dan membincangkan inti pati RMK13.

“Antara urusan penting yang akan dibahaskan dan dipertimbangkan dalam mesyuarat ini ialah rang undang-undang, usul berkaitan RMK13, Laporan Ketua Audit Negara 2/2025 serta Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam),” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada semua Ahli Yang Berhormat berikutan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 yang telah mendapat perkenan Agong.

Beliau berkata akta itu telah mengembalikan autonomi institusi Parlimen Malaysia, memperkasakan demokrasi Malaysia dan memperkukuh prinsip pemisahan kuasa.

“Saya mengucapkan penghargaan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang bersama-sama menyokong pewujudan Akta Perkhidmatan Parlimen,” katanya.

Dalam masa sama, Johari mengingatkan bahawa semua Ahli Parlimen diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum 7 Nov ini, seperti yang dilaksanakan dalam sidang terdahulu.

Beliau berkata pemeriksaan kesihatan itu sangat penting dan membantu Ahli-ahli Yang Berhormat untuk mengetahui tahap kesihatan pada peringkat awal dan seterusnya membolehkan langkah-langkah pencegahan segera diambil.

Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15 mula bersidang hari ini hingga 28 Ogos dengan pembentangan RMK13 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan berlangsung pada 31 Julai- BERNAMA