KUANTAN: Sebanyak 200 orang menyertai program ‘Jom Plogging - Saya Sayang Bumi’ yang dianjurkan Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) di Pantai Cherok Paloh di sini, bagi memupuk budaya cintakan alam sekitar.

Ketua Pegawai Operasi Alam Flora Mohamad Muhazni Mukhtar berkata program itu bertujuan memberi pendedahan kepada setiap lapisan masyarakat tentang kesan pembuangan sampah merata-rata terhadap habitat marin dan keseimbangan ekosistem semula jadi.

“Kami (Alam Flora) memilih lokasi ini kerana kami telah memulakan usaha pembersihan di beberapa pantai seperti Pantai Sepat, Pantai Cempaka dan Pantai Tanjung Gosong. Melihat kawasan Pantai Cherok Paloh ini semakin berkembang dan menarik ramai pengunjung, kami terpanggil untuk teruskan inisiatif ini di sini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata peserta yang mengikuti program itu terdiri daripada penduduk setempat, wakil Lion Group, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) serta beberapa ahli Pengakap dari sekolah berdekatan.

Dalam program sama, beliau berkata pihaknya turut menjalankan aktiviti penanaman 150 anak pokok di sekitar kawasan pantai itu sebagai usaha penghijauan semula dan pemulihan kawasan pesisir pantai.

Mohamad Muhazni berkata usaha menjaga kebersihan kawasan pelancongan itu memerlukan penglibatan aktif daripada semua pihak dan bukannya bergantung kepada pihak berkuasa semata-mata.

Melihat impak positif daripada program tersebut, Setiausaha Majlis Bandaraya Kuantan Mohd Nizam Mahayuddin menyarankan kepada komuniti setempat untuk membawa penyepit sampah dan plastik sekiranya pergi ke kawasan pantai dan kawasan pelancongan yang lain.

“Jika semua dapat amalkan perkara yang kita lakukan (membersihkan kawasan) pada hari ini, insya-Allah masalah sampah boleh dikurangkan walaupun tidak dihapuskan sepenuhnya,” katanya.

Mohd Nizam turut menzahirkan ucapan terima kasih atas sumbangan 150 anak pokok daripada Jabatan Perhutanan Pahang serta pihak Alam Flora yang sentiasa komited dalam menggiatkan usaha penghijauan bumi.