• 2025-06-20 03:54 PM

GEORGE TOWN: Kementerian Perpaduan Negara menjangkakan kehadiran 200,000 pengunjung pada Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) 2025 Peringkat Kebangsaan di Stadium Batu Kawan selama empat hari bermula 17 Julai.

Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perpaduan Negara Dr S. Shatesh Kumar berkata Pulau Pinang merupakan lokasi ketiga penganjuran acara tahunan itu selepas kali pertama berlangsung di Kuching, Sarawak pada 2023 diikuti Johor Bharu, Johor.

“Sambutan kali ini menampilkan empat segmen utama yang mencerminkan kepelbagaian serta keunikan etnik di Malaysia. Segmen pertama ialah pembinaan replika perkampungan Orang Asli dan Kadazan Dusun bagi memberi pengalaman kehidupan sebenar masyarakat itu.

“Pengunjung boleh berinteraksi dengan masyarakat tersebut untuk mengetahui tentang seni, budaya dan makanan mereka dengan lebih mendalam,” katanya pada sesi taklimat bersama media sempena penganjuran SMP 2025 di sini hari ini.

Shatesh Kumar berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan sambutan pada 19 Julai.

Segmen lain SMP 2025 ialah pameran rumah 25 etnik seperti Siam, Chetti, Kerinci, Melayu Brunei, Baba Nyonya, Kedayan, Penan dan Bisaya serta pameran khas sejarah negara oleh Jabatan Muzium dan Arkib Negara, manakala segmen terakhir ialah foodunites iaitu himpunan makanan warisan etnik di 24 reruai.

Shatesh Kumar berkata SMP 2025 juga melibatkan penyertaan pelbagai agensi kerajaan serta swasta, pameran aset keselamatan, Jualan MADANI dan persembahan artis terkenal menerusi malam warisan.