MELAKA: Sebanyak 25 bas pelancongan atau persiaran dan bas ekspres diambil tindakan atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Bersepadu Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA) yang dilaksanakan dari 5 Julai hingga hari ini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka Muhammad Firdaus Shariff berkata kesalahan berkenaan membabitkan tiada lesen kenderaan motor (LKM) dan insurans, tiada lesen kenderaan pengangkutan (PSV), tiada lesen pengendali, tata kelakuan pemandu seperti merokok dan meletak kenderaan di kawasan bahaya.

Beliau berkata selain itu, bas persiaran dan ekspres berkenaan juga turut dikesan melakukan kesalahan teknikal seperti tiada alat pemadam api dan peti pertolongan cemas.

“Sepanjang operasi berkenaan, sebanyak 20 bas persiaran dan satu bas ekspres dikesan melakukan pelbagai kesalahan dan masing-masing empat notis larangan penggunaan kenderaan, notis arah periksa dan notis panggilan temu siasat turut dikeluarkan kepada pengusaha bas.

“Bagaimanapun setakat ini, tiada KPA terlibat yang disita dan Operasi Bersepadu KPA akan diteruskan hingga 31 Julai ini,“ katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Firdaus berkata sebanyak 280 KPA telah diperiksa melibatkan 150 bas persiaran dan 130 bas ekspres dalam tempoh operasi berkenaan dijalankan.

Beliau berkata operasi itu bertujuan membantu mengurangkan kes kemalangan jalan raya sekali gus meningkatkan kesedaran aspek keselamatan di jalan raya membabitkan KPA menerusi penguatkuasaan undang-undang.

Dalam pada itu, katanya bersempena dengan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024), pengusaha bas yang ingin menambah pendapatan dengan membawa pelancong ke Melaka menggunakan bas milik mereka, disaran mematuhi syarat permit ditetapkan agar tidak berdepan dengan tindakan undang-undang.

“Sebagai contoh, syarat permit ialah bas sekolah tetapi kenderaan itu digunakan bukan untuk tujuan asal seperti membawa rombongan atau pelancong.

“Mereka perlu berurusan dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk membuat permohonan tukar syarat bas berkenaan,“ katanya.

Sementara itu, Pemangku Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Melaka Hasni Abu Hassan berkata dalam operasi hari ini, sebanyak dua bas persiaran yang dikesan tidak menggunakan khidmat pemandu pelancong berlesen.

Beliau berkata syarikat penganjur pelancongan itu akan dipanggil bagi siasatan lanjut dan kesalahan berkenaan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 yang memperuntukkan denda sebanyak RM50,000 atau kompaun maksimum RM25,000.