• 2025-10-11 04:03 PM

KUALA LUMPUR: Sebanyak 2.67 juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya utama pada hari-hari puncak sempena sambutan Deepavali pada 20 Oktober ini.

Lembaga Lebuhraya Malaysia memaklumkan sebanyak 2.2 juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya di bawah PLUS Malaysia Berhad.

Lebuhraya KL-Karak dijangka mencatatkan 170,000 kenderaan manakala Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 menjangkakan 90,000 kenderaan.

Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 dijangka menampung 40,000 kenderaan dan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat pula 170,000 kenderaan.

LLM menjangkakan peningkatan trafik di lebuh raya utama seawal Khamis, 16 Oktober bagi pengguna yang menuju ke arah Utara, Selatan dan Pantai Timur.

Bagi mendepani peningkatan trafik, LLM mengarahkan kesemua syarikat konsesi lebuh raya untuk melakukan persediaan rapi.

Persediaan tersebut bertujuan memastikan perjalanan pengguna lebuh raya adalah selamat dan lancar sepanjang musim perayaan.

Antara langkah diambil termasuk memastikan tiada penutupan lorong bermula 17 hingga 23 Oktober kecuali bagi kerja kecemasan.

LLM juga akan mengaktifkan laluan ‘smart lane’ di 29 lokasi yang dikenal pasti di Lebuhraya Utara-Selatan.

Sistem kutipan tol akan dipastikan berfungsi dengan baik bagi mengelakkan kesesakan di plaza tol.

LLM turut menyambut baik pengumuman Perdana Menteri mengenai pemberian diskaun tol sebanyak 50% sempena sambutan Deepavali.

Diskaun tol tersebut diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2026 semalam. – Bernama