KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengarahkan 34 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) susulan penularan jangkitan influenza dalam kalangan pelajar.
Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (gambar) berkata langkah itu diambil selepas MRSM berkenaan mencatat lebih 60 pelajar bergejala influenza.
Beliau menyatakan pengurusan MARA terpaksa mengambil keputusan drastik tanpa menunggu Pejabat Kesihatan Daerah mengisytiharkan penutupan MRSM.
Pengurusan MRSM yang mencatatkan lebih 50 pelajar bergejala dibenarkan mengadakan PdPR bagi memutuskan rantaian penularan virus influenza.
Setakat ini 34 MRSM telah mengadakan PdPR dengan membenarkan pelajar pulang ke rumah dan proses sanitasi dilakukan di semua MRSM terlibat.
Asyraf Wajdi turut mendoakan agar semua pelajar kembali pulih dan penularan virus itu dapat dikekang serta rantaian penularannya diputuskan.
Sebelum ini Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan 97 kluster jangkitan influenza A dan B dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 40/2025.
Jumlah kluster tersebut menunjukkan peningkatan berbanding 14 kluster pada minggu sebelumnya dengan majoriti melibatkan institusi pendidikan.
Menurut KKM semua negeri mencatatkan peningkatan dengan lima negeri tertinggi ialah Selangor (43 kluster), Kuala Lumpur dan Putrajaya (15), Pulau Pinang (10), Johor (9), dan Kedah (5).
Kebanyakan kes menunjukkan simptom ringan berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan. – Bernama