JOHOR BAHRU: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Johor membuka sebanyak 4,290 kertas siasatan dengan membabitkan jumlah kerugian sebanyak RM181 juta sepanjang tahun lepas.
Ketua Polis Johor CP Datuk M. Kumar berkata rekod itu sekali gus menunjukkan 30 peratus penurunan jumlah kerugian atau RM80 juta, berbanding RM261 juta jumlah kerugian yang dicatatkan pada 2023.
“Bagaimanapun, jumlah kes tahun lepas merekodkan peningkatan sebanyak 27 kes berbanding 4,263 kes atau kertas siasatan yang dibuka pada 2023,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.
Beliau berkata JSJK Johor melaksanakan pelbagai program pencegahan dalam memberi kesedaran kepada masyarakat agar tidak menjadi mangsa penipuan jenayah siber dan scammer, susulan evolusi teknik penipuan terkini yang menggunakan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI).
“Perkembangan teknologi termasuk penggunaan AI, telah mendorong evolusi teknik penipuan yang menjadikannya semakin canggih dan sukar dikesan.
“Jenayah siber dan scammer telah menjadi satu trend jenayah yang membimbangkan, atas sebab itu JSJK giat mengambil pendekatan untuk mendidik masyarakat dan orang awam agar tidak sesekali menjadi mangsa penipuan dalam talian,” katanya.
Sementara itu, Kumar berkata sejumlah 25,065 individu telah ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor atas pelbagai kesalahan dadah, iaitu ketiga tertinggi antara kontinjen pada tahun lepas.
Beliau berkata ia secara keseluruhan melibatkan rampasan sebanyak 7.30 tan dadah bernilai RM99.76 juta dengan sitaan aset sindiket RM17.23 juta.
Kumar berkata Cawangan Khas Johor turut proaktif dalam melaksanakan siri operasi termasuk menumpaskan elemen kontraban, mengelak pembayaran cukai dan cap dagang asli dengan keseluruhan nilai rampasan RM7.76 juta bagi tempoh sama.
“Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor pula merekodkan sebanyak 444 kes samun yang telah dibuka kertas siasatan, dengan 260 kes berjaya diselesaikan dan 108 kes dituduh di mahkamah.
“Sebanyak 166 kes kontraban telah dibuka kertas siasatan dengan 61 kes telah dituduh di mahkamah, sementara tangkapan pula melibatkan 256 orang dengan jumlah rampasan kontraban bernilai RM18 juta,” katanya.
Kumar berkata sebanyak 677 serbuan dan 3,133 tangkapan dilakukan melibatkan kes pelacuran dengan rampasan bernilai RM303,477 manakala 620 kes telah dituduh di mahkamah.
“Sementara itu, sebanyak 2,273 operasi kes perjudian telah dijalankan dengan tangkapan 3,008 individu dan jumlah rampasan RM806,580 pada tahun lepas,” katanya.