KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui SME Corp. Malaysia meluluskan bantuan geran berjumlah RM2.96 juta kepada 48 perusahaan kecil milikan kaum India di bawah Program Business Accelerator untuk syarikat milikan India bersaiz kecil (I-BAP), sehingga kini.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R Ramanan berkata program yang sebelum ini hanya terbuka kepada perniagaan dengan jualan tahunan melebihi RM300,000, kini dibuka kepada semua usahawan kecil tanpa had jualan minimum.
“Sebelum ini, kita menetapkan syarat jualan RM300,000 setahun untuk memohon. Berikutan permintaan yang tinggi, kita ubah suai syarat ini supaya semua usahawan kecil boleh memohon tidak kira RM300,000, RM200,000 atau RM100,000 setahun,“ katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra dan Penyerahan Surat Tawaran I-BAP di sini hari ini.
Beliau berkata permohonan untuk program berkenaan akan dibuka semula secara dalam talian mulai 7 April 2025.
“Bagi mempercepatkan penyaluran geran, keutamaan akan diberikan kepada projek yang telah selesai dan pembayaran kepada pembekal dibuat mulai 1 Jun 2024,“ katanya.