• 2025-07-30 01:53 PM

KUALA LUMPUR: Seramai 5,800 pembayar cukai dikenal pasti tidak mematuhi pengemukaan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) melalui pemantauan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap pelaksanaan e-Invois sebelum ini.

Melalui tindakan awal pematuhan, LHDN memaklumkan bahawa pembayar cukai berisiko gagal melaporkan pendapatan telah tampil mengemukakan BNCP dan melaporkan pendapatan bagi tahun taksiran ke belakang sebanyak RM484 juta. Jumlah ini menyumbang kepada hasil cukai tambahan RM82 juta.

Menurut LHDN, pelaksanaan e-Invois membolehkan pihaknya menerima maklumat individu dan syarikat yang menjalankan transaksi perniagaan sejak 1 Ogos tahun lepas. Data pembayar cukai yang disahkan dalam sistem MyInvois dipantau secara aktif bagi memastikan pematuhan cukai dilaksanakan secara sukarela dan berterusan.

“Sehingga hari ini, sekitar 413 juta e-Invois dikeluarkan secara keseluruhan. Penyertaan lebih 83,000 pembayar cukai ini bukan sahaja melibatkan pembayar cukai fasa pertama hingga ketiga secara mandatori, tetapi turut disertai pembayar cukai fasa keempat dan kelima secara sukarela,“ menurut kenyataan LHDN.

LHDN menekankan bahawa pembayar cukai yang telah tamat tempoh kelonggaran perlu melaksanakan e-Invois sepenuhnya mengikut garis panduan. Mereka juga diingatkan untuk sentiasa mengemas kini rekod cukai dan memastikan pematuhan penuh bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan.

Bagi bantuan khidmat nasihat atau pertanyaan berkaitan e-Invois, pembayar cukai boleh menghubungi talian khas LHDN di 03-8682 8000 (24 jam), MyInvois Live Chat, atau emel myinvois@hasil.gov.my. Maklumat lanjut juga boleh diperoleh melalui borang maklum balas pelanggan MyInvois di pautan rasmi LHDN. - Bernama