JOHOR BAHRU: Sebanyak 745 kawasan berisiko banjir dikesan di seluruh Johor pada tahun ini berbanding 432 tahun lepas sekali gus menjadikannya jumlah tertinggi yang pernah dicatatkan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Johor Siti Rohani Nadir berkata Batu Pahat merupakan daerah dengan kawasan berisiko banjir paling banyak iaitu 186 kawasan diikuti Segamat (103), Muar (87), Kluang (78), Tangkak (59), Pontian (58), Kota Tinggi (56), Johor Bahru (44), Mersing (38) dan Kulai (36).

Beliau berkata banjir besar di kawasan yang tidak pernah terjejas seperti di Chaah, Segamat pada tahun lepas merupakan antara faktor kawasan berisiko semakin bertambah.

“Selain itu, kawasan banjir kilat dan hujan lebat juga menambah lokasi berisiko di negeri ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Geran Bantuan Tahunan dan Libat Urus Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Johor di Ibu Pejabat JBPM negeri di sini hari ini.

Siti Rohani berkata pihaknya sentiasa melakukan pemantauan ketika musim Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berlarutan hingga Mac tahun depan dengan kekuatan 1,425 pegawai dan anggota termasuk PBS serta aset meliputi 38 kenderaan pacuan empat roda, 10 lori dan 45 bot.

Beliau berkata sebanyak 23 lokasi cerun kritikal dikesan di negeri ini melibatkan daerah Johor Bahru, Mersing, Kota Tinggi, Kluang, Segamat, Muar dan Batu Pahat.

Siti Rohani dalam pada itu berkata JBPM negeri sedang bekerjasama dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) sejak bulan lepas untuk projek perintis menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi tujuan pemprosesan pelan bangunan yang membabitkan aspek arkitek serta mekanikal dan elektrikal.

“Penggunaan AI akan mempercepatkan tempoh proses (penilaian) pelan bangunan yang mana sebelum ini dilakukan secara manual dan mengambil masa 14 hari untuk diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata sesuatu pelan projek pembangunan memerlukan sokongan daripada agensi teknikal seperti JBPM sebelum melalui proses bagi mendapatkan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) dengan penggunaan AI akan mempermudahkan lagi pemprosesan pelan itu.

Ditanya kes kebakaran empat gudang di Kawasan Perindustrian SILC, Iskandar Puteri pada Khamis lepas, beliau berkata pihaknya sedang melakukan siasatan bagi mengenal pasti punca dan anggaran kerugian.

Kebakaran berkenaan menyebabkan dua pekerja warganegara Bangladesh maut manakala seorang lagi cedera dan dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).