• 2025-09-13 10:16 PM

KUALA LUMPUR: Seni dan digital merupakan dua elemen yang perlu digabungkan dan dikembangkan bersama sebagai pemangkin penting dalam memacu setiap aspek kehidupan.

Menteri Digital Gobind Singh Deo menegaskan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan negara dan seni teater sebagai medium kreatif mampu menonjolkan nilai murni serta pemikiran kritis.

“Ini satu kekuatan kerana acara sebelumnya hanya diadakan di dewan tetapi dengan memperkasakan pentas digital, ia akan memberi banyak dukungan,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Teater Bahasa Melayu Sekolah Tamil Peringkat Kebangsaan 2025.

Program tersebut berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kehadiran Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Mohd Amran Mohd Haris.

Seramai 80 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dari seluruh negara menyertai pertandingan tersebut dengan penyertaan 800 pelajar.

Sebanyak 47 sekolah berjaya mara ke peringkat saringan manakala hanya 10 sekolah terbaik melangkah ke pentas akhir bagi merebut gelaran juara kebangsaan.

Sekolah SJKT Batu Anam, Johor muncul juara melalui persembahan teater bertajuk “Suara Dari Hati” dan membawa pulang piala pusingan serta wang tunai RM5,000.

Tempat kedua dirangkul oleh SJKT Slim River, Perak manakala tempat ketiga dimenangi oleh SJKT Jalan Lobak, Negeri Sembilan.

Guru Bahasa Tamil SJKT Batu Anam Karthik Selva Kumaran mendedahkan bahawa mereka mengambil masa tiga bulan untuk melatih pelajar termasuk proses penulisan skrip dan menghafal.

“Kita lebih fokus kepada isu semasa dan memandangkan AI sedang membangun di negara kita, kita mempersembahkan topik tersebut dalam drama,” jelasnya. – Bernama