• 2025-09-13 10:15 PM

DUNGUN: Polis meminta orang ramai tidak membuat spekulasi atau menyebarkan video berhubung insiden melibatkan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu dengan warga asing yang tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Maizura Abdul Kadir berkata penyebaran rakaman video berdurasi 12 saat itu boleh mengganggu siasatan, menjejaskan keharmonian masyarakat dan menimbulkan persepsi terhadap integriti serta tindakan agensi penguat kuasa undang-undang.

Beliau berkata dalam kejadian 12.30 tengah hari semalam, anggota JPJ Bukit Besi yang melakukan rondaan di Jalan Pulau Serai menuju Kampung Tok Kah menahan seorang lelaki warga asing kerana menunggang motosikal tanpa lesen.

Bagaimanapun ketika ditahan, warga asing itu bertindak agresif dengan cuba mencederakan anggota bertugas sebelum melarikan diri.

Keadaan itu memaksa pihak penguat kuasa menggunakan kekerasan minimum dan terkawal bagi mempertahankan diri.

Maizura meminta warga asing terbabit tampil ke balai polis berhampiran dan memberi keterangan bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian untuk siasatan. – Bernama