KUALA LUMPUR: Hanya beberapa hari selepas menjuarai Terbuka Singapura beregu utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dikejutkan dengan kekalahan seawal pusingan pertama di Terbuka Indonesia selepas tumpas kepada beregu Dnmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard, hari ini.

Dalam kejohanan bertaraf Super 1000 di Istora Senayan, Jakarta, pilihan ketiga kejohanan itu tewas 13-21, 21-19, 18-21 dalam pertarungan selama 59 minit.

Meskipun berjaya memenangi set kedua dan mendahului 11-7 pada set penentuan, beberapa kesilapan mudah membolehkan Kjaer-Sogaard bangkit merampas kemenangan – sekali gus mencatat kemenangan kedua mereka ke atas pasangan negara dalam lima pertemuan.

Bercakap kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan, Wooi Yik mengakui lawan bermain lebih baik dan berjanji untuk bangkit semula dalam kejohanan akan datang.

Ahad lalu, Aaron-Wooi Yik menjuarai Terbuka Singapura selepas menewaskan pasangan Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae 15-21, 21-18, 21-19 dalam aksi final tiga set.

Sementara itu, dua lagi beregu lelaki negara turut menerima nasib sama apabila tersingkir awal dalam saingan hari ini.

Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri tewas mudah kepada juara dunia 2021 dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, 13-21, 9-21, manakala Ong Yew Sin-Teo Ee Yi kecundang kepada pilihan keempat dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang, 21-23, 20-22.

Beregu utama wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah tidak berdepan masalah melangkah ke pusingan kedua selepas menewaskan pasangan Taiwan, Sung Shuo Yun-Yu Chien Hui, 21-16, 21-17.

Mereka akan menentang gandingan tuan rumah, Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Silva Ramadhanti yang menyingkirkan satu lagi pasangan negara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing, 19-21, 21-16, 21-19.

Dalam aksi perseorangan lelaki, Leong Jun Hao mempamerkan aksi cemerlang apabila mengejutkan pemain tuan rumah, Chico Aura Dwi Wardoyo 21-13, 21-12 dalam masa 40 minit.

Jun Hao bakal berdepan pemenang perlawanan antara pilihan keempat dari China, Li Shi Feng atau Brian Yang dari Kanada dalam pusingan kedua esok.