GEORGE TOWN: Abidin Ismail hari ini mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap pada persidangan Kali kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-15 di sini.
Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal berusia 56 tahun itu mengangkat sumpah di hadapan Speaker DUN Pulau Pinang Datuk Law Choo Kiang.
Abidin menang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN berkenaan pada 6 Julai lepas dengan majoriti 4,267 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin yang mendapat 10,222 undi.
Pada PRK berkenaan beliau memperoleh 14,489 undi.
PRK DUN Sungai Bakap diadakan berikutan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff yang meninggal dunia pada 24 Mei lepas akibat radang dalam perut.