• 2025-07-09 10:12 AM

ATHENS: Gelombang panas ketiga tahun ini memaksa penutupan sementara Acropolis di Athens bagi melindungi pelancong dan pekerja daripada suhu melampau. Kementerian Kebudayaan Greece mengumumkan penutupan monumen ikonik itu dari pukul 1 petang hingga 5 petang setiap hari.

Kementerian Buruh turut mengeluarkan larangan kerja fizikal luar di kawasan terjejas teruk antara jam 12 tengah hari hingga 5 petang. Larangan ini merangkumi sektor pembinaan dan pertanian. Perkhidmatan penghantaran makanan dan kopi menggunakan motosikal juga dihentikan sementara, kecuali jika kenderaan dilengkapi penghawa dingin.

Syarikat yang melanggar peraturan ini berdepan denda sehingga €2,000 bagi setiap pekerja terjejas. Kawasan terjejas termasuk Semenanjung Chalkidiki, Euboea, Attica, dan barat Crete.

Gelombang panas dijangka berterusan hingga Rabu, dengan suhu diramalkan turun ke paras 30°C pada Khamis. Pakar memberi amaran risiko kebakaran hutan yang tinggi akibat angin kencang. - Bernama-dpa