• 2025-09-14 12:35 PM

KERIAN: Beliau pernah gagal dalam usahanya menternak ikan arowana, namun kerugian yang ditanggung tidak mematahkan semangat Adzmi Saad untuk membiakkan ikan hiasan yang turut dikenali sebagai kelisa itu.

Mencari apa silap, Adzmi membuat kajian dan akhirnya menemukan jawapan di Bukit Merah, Perak, mendorongnya berpindah dari Perlis ke lokasi itu pada 2005, dan kini kolam ternakan miliknya mengeluarkan arowana premium berharga mencecah RM80,000 seekor.

“Kegagalan di Perlis bukan noktah. Selepas mengkaji pelbagai faktor, saya dapati pH air dan batuan di Bukit Merah menjadikannya antara tempat terbaik di negara ini untuk pembiakan arowana,” katanya ketika ditemui di ladang penternakan ikan arowana miliknya, di sini baru-baru ini.

Menurut pemilik Bintong Arowana Farm Sdn Bhd itu, berlainan dengan tanah ladangnya di Perlis yang berasaskan batu kapur, Bukit Merah terbentuk daripada batuan granit dan air dengan pH neutral, iaitu 6.0 hingga 7.0, menyamai habitat asal arowana atau nama saintifiknya Scleropages aureus.

“Air di sini tidak terlalu beralkali dan tidak terlalu berasid. Gabungan pH ideal dan persekitaran semula jadi menjadikan Bukit Merah lokasi yang tidak boleh ditiru,” jelas usahawan berusia 70 tahun itu.

Adzmi yang pernah menerima Anugerah Kepimpinan Akuakultur 2022, berkata keadaan itu membolehkannya membiak dan menternak spesies premium bernilai tinggi seperti albino super red, banja red albino, golden arowana, highback, silver albino dan banja red.

Beliau kini mengusahakan kira-kira 300 kolam arowana di atas tanah seluas lebih 13 hektar. Sebelum kejatuhan pasaran ikan hiasan sekitar 2016, beliau pernah mengeksport 30,000 ekor arowana ke China, Jepun dan Eropah, dengan China menjadi pasaran terbesar kerana ikan itu dianggap simbol tuah dan kekayaan bagi masyarakat berkenaan.

Bagaimanapun, kejatuhan harga menyaksikan spesies arowana biasa yang sebelum ini dapat dijual hingga RM600 seekor kini cuma berharga sekitar RM60 ke RM150.

“Albino gold masih ada harga antara RM12,000 ke RM15,000, tetapi pasaran tidak semeriah dahulu,” katanya yang menambah persaingan tempatan dan antarabangsa antara faktor kejatuhan harga.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan peningkatan kos sara hidup membuatkan orang ramai lebih mengutamakan barangan keperluan harian berbanding membeli ikan hiasan.

Adzmi yang berpengalaman membela ikan arowana sejak di bangku sekolah rendah, berkata antara keistimewaan ikan itu ialah tabiat si jantan yang sanggup “berpuasa” hingga dua bulan demi melindungi telur dan anak yang dibawa di dalam mulutnya.

“Apabila ikan betina lepaskan telur, yang jantan akan ambil dan simpan di dalam mulut antara 50 hari hingga dua bulan. Dalam tempoh itu ia tidak akan makan, tetapi adakala jika terlalu lapar ia akan lepaskan sekejap anak dan ikan betina ambil alih tugas jaga kawasan sekitar,” jelasnya.

Tentang perancangan masa depan, Adzmi berhasrat meluaskan perniagaannya termasuk meneroka pasaran baharu di Filipina, India, Kanada dan Jepun.

“Saya akan serahkan perniagaan ini kepada anak lelaki bongsu saya. Kini dia membantu menguruskan ladang, dan saya percaya selagi ada Bukit Merah, industri arowana tetap akan hidup kerana hanya di sini habitat paling sesuai untuk spesies ikan tercantik di dunia ini,” katanya yang mempunyai enam orang anak berusia 29 hingga 49 tahun.

Sebelum menceburkan diri sepenuh masa dalam perniagaan ikan arowana, Adzmi merupakan pengurus pasukan bola sepak Perlis dari 2000 hingga 2007, malah membantu pasukan itu menjuarai Piala Malaysia sebanyak dua kali serta juara Liga Super - BERNAMA