KUALA LUMPUR: Seorang penjawat awam ditahan malam tadi kerana memandu secara berbahaya dan terbabit dalam perselisihan faham dengan seorang pemandu wanita di Plaza Tol Bangi, Selangor pada Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata lelaki berusia 25 tahun itu ditahan pada 9.50 malam selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan kereta Perodua Myvi milik suspek turut dirampas di kawasan Dang Wangi.
“Suspek direman sehari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan dan Peraturan 6(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Naazron berkata polis menerima laporan daripada wanita berusia 31 tahun yang terlibat dalam perselisihan faham dengan suspek pada 7.50 malam, Jumaat lepas.
Beliau berkata siasatan mendapati pada 6.10 pagi, ketika pengadu sedang dalam perjalanan ke tempat kerja, sebuah kereta Perodua Myvi menghimpit dan melanggar bahagian kiri hadapan keretanya di Plaza Tol Bangi.
“Kedua-dua mereka kemudian berhenti di tepi jalan dan berlaku selisih faham, suspek memarahi pengadu kerana didakwa menukar lorong kiri tanpa memberi isyarat,” katanya - Bernama