KUALA LUMPUR: Kerajaan komited dalam melakukan agenda reformasi institusi, termasuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bagaimanapun usaha itu tidak boleh dilakukan secara mendadak bagi mengelak ia daripada berakhir dengan kegagalan.

Beliau berkata dalam melakukan sebarang reformasi, kerajaan juga harus melihat sejarah dan pengajaran daripada negara luar seperti Poland dan Czechoslovakia apabila reformasi telah gagal, antara lain kerana dilakukan secara terburu-buru.

“Apa beza kita dengan kerajaan terdahulu. Kita tegas dengan keputusan reform sehingga ada antara kita yang takut reform boleh merugikan, tetapi bagi yang pro-reform, mereka dilihat kurang sabar untuk lihat perubahan.

“Saya nak katakan reformasi tidak mungkin berjaya sekiranya pimpinan laksanakan secara gelojoh, terlalu mendadak... kita telah lihat, yang kebanyakan sejarah dunia, reformasi yang dibuat dengan mendadak berakhir dengan kegagalan,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Kongres Kebangsaan DAP ke-18 di Pusat Konvensyen IDCC Shah Alam di Seksyen 15, di sini hari ini.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata hal berkenaan bukan alasan untuk mengelak daripada melaksanakan reformasi, kerana dalam tempoh dua tahun pentadbiran, pelbagai perubahan telahpun dibuat, seperti meluluskan pindaan rang undang-undang yang membolehkan kerajaan mengembalikan dan menguatkuasakan semula Akta Perkhidmatan Parlimen.

Perdana Menteri berkata masih banyak agenda reformasi institusi yang ingin dilakukan, tetapi masyarakat perlu sedar bahawa proses perubahan yang melibatkan akta atau Perlembagaan Persekutuan memerlukan sokongan kukuh ahli Parlimen.

“Proses pindaan dan reformasi institusi ini bukan mudah, kita kena ada kesepakatan atau dua pertiga majoriti sokongan Ahli Dewan Rakyat selain turut melibatkan persetujuan Majlis Raja-Raja Melayu.

“Contohnya kita komited untuk hadkan kuasa Perdana Menteri kepada 10 tahun. Saya, malah PKR dan PH telah setuju, tetapi kita tetap perlu persetujuan dua pertiga majoriti, dan jika ada persetujuan tersebut, kita boleh bentang pada persidangan akan datang,” katanya.

Anwar seterusnya mengulangi ketegasan dan komitmen kerajaan untuk tidak campur tangan dalam sebarang keputusan melibatkan badan kehakiman.

Beliau berkata kerajaan bagaimanapun mempunyai tanggungjawab untuk memastikan mereka yang dilantik ke dalam badan perundangan mempunyai wibawa, bebas dan tidak terjerumus dengan kepentingan seperti perniagaan dan rasuah.

“(Betul) jangan campur urusan badan kehakiman dalam membuat keputusan, tetapi kita mahu pastikan yang dilantik ini cukup berwibawa, bebas dan tidak terjerumus dengan kepentingan perniagaan dan rasuah.

“Ini tanggungjawab kita dalam kerajaan sebab kita kena jawab dalam Parlimen dan kepada rakyat,” katanya ketika menyentuh mengenai resolusi Majlis Peguam semalam.

Resolusi itu antara lain mengutuk keras sebarang campur tangan terhadap kebebasan badan kehakiman oleh badan eksekutif, legislatif, individu atau entiti yang bertujuan mengatasi kerangka Perlembagaan dan perundangan dalam pelantikan kehakiman, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009.

Anwar berkata pengawasan perlu dilakukan oleh badan-badan bebas terhadap badan kehakiman bagi menjamin semak dan imbang.

Beliau berkata kerajaan sehingga kini tidak pernah mencampuri urusan sebarang kes yang sedang dibicarakan di mahkamah, termasuk yang melibatkan orang kenamaan.