• 2025-06-24 04:06 PM

KOTA KINABALU: Semua agensi dan anak syarikat di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) diwajibkan menjana keuntungan sebagai langkah transformasi, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, sasaran keuntungan mesti dicapai dalam tempoh setahun. Anak syarikat yang gagal memenuhi sasaran boleh dipertimbangkan untuk management buyout atau ditutup.

“Kita mesti lakukan sesuatu luar biasa dalam keadaan biasa. Saya bukan sekadar beri arahan, tetapi turun padang beri panduan,” katanya selepas merasmikan Program Pemerkasaan Wanita Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah hari ini.

Program anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu dihadiri lebih 1,000 usahawan wanita dengan aktiviti seperti sesi bimbingan dan padanan perniagaan bersama agensi berkaitan.

Ahmad Zahid menekankan pentingnya key performance indicator (KPI) dipantau bagi memastikan kejayaan pelan transformasi. “Kalau tercapai, tingkatkan lagi. Kalau tidak, cari sebab dan selesaikan,” ujarnya.

KKDW juga mengadakan permukiman dua kali setahun bagi membincangkan idea baharu untuk memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan. Pendekatan ini dilihat sebagai langkah memperkasakan libat urus dalam kalangan pegawai.

Mengenai Program Pemerkasaan Wanita Sabah, Ahmad Zahid berkata ia penting untuk membina daya saing usahawan wanita. “Wanita Sabah ada potensi besar jadi tonggak ekonomi desa dan negara,” katanya.

Kerajaan MADANI komited dalam memperkasa wanita melalui akses pembiayaan, bimbingan, dan sokongan pasaran. Inisiatif ini selari dengan agenda MARA di 60 kawasan Parlimen seluruh negara.