PUTRAJAYA: Kerajaan akan melaksanakan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas buah-buahan import tertentu seperti epal dan oren. Langkah ini diambil selepas menerima maklum balas orang ramai berkenaan harga buah tempatan dan import yang semakin meningkat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, walaupun kerajaan menggalakkan rakyat memilih buah tempatan seperti jambu, rambutan, dan durian, pengecualian cukai bagi dua buah import utama ini bertujuan memastikan golongan berpendapatan rendah masih mampu membeli makanan sihat.
“Semalam dalam mesyuarat Jemaah Menteri, kita dengar keluhan rakyat, ada yang masih nak makan epal dan oren sebab lebih murah. Jadi, walaupun ada sedikit cukai untuk import buah-buahan lain, kita beri pengecualian untuk epal dan oren,” katanya dalam ucapan pada Majlis Peluncuran Projek Pembangunan Kota MADANI hari ini.
Anwar menekankan bahawa keutamaan tetap diberikan kepada buah-buahan tempatan yang kaya dengan khasiat dan mudah didapati mengikut musim. Keputusan ini diharap dapat mengimbangi keperluan rakyat dan sokongan terhadap produk tempatan.