• 2025-06-26 12:06 PM

BATU PAHAT: Plaza Tol Ayer Hitam telah dibuka semula sepenuhnya kepada pengguna jalan raya selepas ditutup sementara akibat insiden tumpahan bahan kimia berbahaya semalam.

Menurut PLUS Malaysia Berhad (PLUS), laluan tersebut mula beroperasi semula pada pukul 2.44 pagi tadi selepas kerja-kerja pembersihan selesai. Dalam kenyataan di Facebook, PLUS memaklumkan bahawa trafik kini terkawal dan semua laluan telah dibuka.

Kejadian itu berlaku pada pukul 6.41 petang semalam apabila sebuah treler membawa tong berisi bahan kimia urea formaldehid terjatuh berhampiran plaza tol. Tiga tong terjatuh, dengan satu pecah dan menyebabkan tumpahan.

Pasukan Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam serta pasukan Hazmat dari BBP Larkin bertindak pantas mengawal keadaan. Menurut Penolong Penguasa Bomba Muhammad Syakir Jamal, tumpahan itu diambus menggunakan tanah sebelum bahan kimia dipindahkan ke lokasi selamat.

“Kerja-kerja pengesanan dilakukan menggunakan PH meter dan peralatan lain bagi memastikan tiada risiko berterusan,“ jelasnya. Bahan kimia tersebut kemudian dipindahkan oleh pemilik kontena sekitar pukul 2 pagi.

Tinjauan Bernama di lokasi pada pukul 9 pagi mendapati trafik berjalan lancar tanpa sebarang gangguan. Jabatan Alam Sekitar (JAS) kini mengendalikan kes untuk tindakan lanjut.