• 2025-07-22 10:44 AM

SEREMBAN: Seorang ahli perniagaan mengalami kerugian melebihi RM1 juta selepas terpedaya dengan skim pelaburan dalam talian yang tidak wujud. Kejadian ini dilaporkan berlaku pada April lalu.

Ketua Polis Daerah Nilai, Supt Abdul Malik Hasim, mengesahkan menerima laporan daripada mangsa, seorang lelaki berusia 50-an, di Balai Polis Pantai semalam. “Mangsa mendakwa berurusan dengan individu yang menawarkan skim pelaburan pada 29 April lepas dan berminat melabur kerana dijanjikan keuntungan lumayan,“ katanya.

Menurut Abdul Malik, mangsa kemudian diminta memuat turun aplikasi tertentu di telefon bimbit sebelum memindahkan wang ke tujuh akaun berbeza. “Sebanyak 15 transaksi dilakukan dengan jumlah keseluruhan RM1,449,750,“ jelasnya.

Mangsa baru menyedari ditipu apabila diminta membuat pembayaran tambahan untuk mengeluarkan keuntungan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - Bernama