• 2025-06-29 08:38 PM

KUALA LUMPUR: Kehadiran UMNO di Sabah selama lebih tiga dekad membuktikan parti itu tidak lagi boleh dilabel sebagai ‘parti luar’ atau ‘parti Malaya’, sebaliknya telah menjadi sebahagian daripada landskap politik negeri itu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan bahawa dakwaan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) hanyalah gabungan parti Malaya adalah tidak tepat.

Beliau menjelaskan bahawa kedua-dua gabungan itu mempunyai komponen parti tempatan dalam struktur masing-masing.

“Ada yang kata PH dan BN ini hanyalah parti Malaya, namun sebenarnya, dalam BN ada Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang merupakan parti tempatan, manakala PH pula turut dianggotai Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), juga parti lokal,“ katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Selayang 2025 di Acara Event Space, Jalan Melati, Kuang, Sungai Buloh hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Selayang Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Selayang Reny Rahayu Mohd Ishak.

Ahmad, yang juga Ketua Sekretariat War Room Malaysia, berkata beliau dipertanggungjawabkan untuk menggerakkan war room di Sabah bersama Setiausaha Perhubungan Negeri Sabah Datuk Jafry Ariffin bagi memastikan jentera pilihan raya lebih tersusun dan berkesan.

“War room bukan hanya untuk mengumpul data, tetapi merangkumi penglibatan semua sayap parti termasuk Wanita, Pemuda, Puteri, serta pasukan penerangan bagi memperkukuh gerak kerja di peringkat akar umbi,“ jelasnya.

Beliau yakin pendekatan ini akan membantu UMNO meningkatkan jumlah kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.