SEGAMAT: Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru kepimpinan dan ahli parti supaya meninggalkan sikap saling menjatuhkan yang merugikan perpaduan UMNO. Beliau mengibaratkan situasi itu seperti ‘ketam dalam bakul’ yang akhirnya merugikan semua pihak.
“Jangan jadi macam ketam dalam bakul...semua ketam nak keluar, tapi pijak yang lain supaya dia boleh naik. Akhirnya tidak ada seekor pun keluar, semua mati dalam bakul. Buat apa kita mati dalam bakul sebab pijak sesama sendiri?” katanya semasa penutupan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Segamat di Dewan Serbaguna Taman Yayasan.
Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), menekankan bahawa budaya menuding jari dan menganggap diri sahaja yang betul hanya akan melemahkan keyakinan rakyat terhadap UMNO. Beliau menegaskan bahawa perbezaan pendapat perlu diselesaikan secara beradab dan beretika, terutamanya dalam hal-hal dalaman parti.
“Kalau hari ini kita pemimpin kecil, insya-Allah satu hari nanti kita boleh jadi pemimpin besar, tetapi kalau kita pernah biadab dengan orang lain pada hari ini, bila kita naik nanti lebih ramai pula yang akan biadab dengan kita,“ ujarnya.
Timbalan Perdana Menteri itu turut menyeru seluruh jentera UMNO supaya kekal fokus dalam memperkukuh perpaduan di peringkat akar umbi dan mengelakkan perbezaan pendapat daripada mencetuskan perpecahan. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ketua UMNO Bahagian Segamat Datuk Zahari Sarip.