JASIN: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada Melaka kerana terpilih menjadi tuan rumah bagi Hari Pelancongan Dunia (WTD) pada 2025.

Beliau berkata Melaka dipilih sebagai tuan rumah disebabkan keyakinan kerajaan dan pihak luar terhadap negeri itu yang memiliki prasarana baik, hospitaliti, komitmen dan kecekapan kakitangan awam yang sentiasa bersedia memberi kerjasama bagi memastikan kelancaran sesuatu majlis.

Katanya daripada lokasi tarikan pelancong, warisan peninggalan sejarah hinggalah ke keunikan asmilasi budaya serta tradisi rakyat Melaka, pastinya semua kelebihan ini akan menjadi tarikan kepada pelancong untuk datang ke negeri ini.

“Ia sekali gus menjadi titik tolak kepada keyakinan pelabur daripada dalam mahupun luar negara untuk terus merancakkan ekonomi di bumi Hang Tuah ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Karnival D’Bendang di Kem Benteng Negara, Parit Penghulu, Sungai Rambai di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Buat pertama kalinya, Pertubuhan Pelancongan Sedunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNWTO) memilih Malaysia sebagai lokasi penganjuran WTD sebelum kerajaan Persekutuan memutuskan Melaka akan menjadi tuan rumah bagi acara berprestij itu.

Sebanyak 155 ketua negara serta wakil akan berkampung di Melaka bagi menjayakan acara yang diadakan secara tahunan itu.

Berkenaan Karnival D’Bendang itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata ia merupakan program diatur bagi meraikan musim menuai padi di Melaka yang bermula Oktober lepas, sekali gus keunikannya dapat dijadikan sebagai salah satu daya tarikan pelancongan di negeri itu.

Beliau berkata justeru secara tidak langsung Karnival D’Bendang dapat merealisasikan impian untuk mengetengahkan semula warisan budaya dan kekayaan alam yang dikekalkan oleh generasi untuk tatapan dan penghayatan generasi kini.

“Saya kira penganjuran karnival ini adalah satu langkah yang tepat oleh kerajaan negeri dalam mempromosikan kawasan-kawasan tumpuan pelancongan di negeri Melaka.

Katanya beliau juga yakin sasaran 18.4 juta pelancong dan pengunjung untuk mengunjungi Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) akan tercapai dengan usaha daripada semua pihak.–Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image