KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan takziah kepada Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional Datuk Seri Hamzah Zainudin berikutan pemergian bapa mentuanya, Datuk Abdul Ghani Ngah. Allahyarham meninggal dunia pada pukul 1.45 tengah hari tadi.
Melalui hantaran di Facebook, Ahmad Zahid turut mendoakan agar keluarga Hamzah diberikan ketabahan menghadapi ujian ini. “Sesungguhnya ini satu ujian yang amat berat buat keluarga dan satu kehilangan besar kepada semua yang mengenali beliau,“ tulisnya. Beliau juga mengajak orang ramai membaca al-Fatihah untuk Allahyarham.
Abdul Ghani, 83, sebelum ini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun kerana komplikasi dalaman dan sesak nafas selepas kejadian kebakaran di rumahnya pada 19 Jun lalu. Isterinya, Datin Salmiah Nyak Matt, 84, meninggal dunia dalam kejadian itu.
Jenazah Allahyarham disolatkan selepas solat isyak di Masjid Kampung Melayu Sungai Rapat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rapat Jaya, Ipoh.