KUALA LUMPUR: Aidilfitri adalah ruang untuk rakyat Malaysia menghargai nilai kepelbagaian yang membentuk negara ini dan semangat perpaduan dalam kalangan masing-masing, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan.
Beliau berharap kemeriahan perayaan itu yang diraikan bersama seluruh rakyat Malaysia akan dapat memperkukuh lagi semangat perpaduan, kasih sayang dan keharmonian dalam kalangan mereka.
“Hari raya merupakan simbol perpaduan yang kukuh dalam masyarakat kita yang berbilang kaum dan budaya sepertimana kita menyambut perayaan Deepavali, Tahun Baharu Cina dan sebagainya.
“Ia menjadi ruang untuk kita menghargai kekuatan yang terlahir daripada kepelbagaian, dan betapa indahnya apabila kita bersatu sebagai satu keluarga Malaysia MADANI,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Sungai Buloh itu berkata Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa mengutamakan kepentingan semua kaum kerana ia menjadi asas kukuh untuk terus memupuk keharmonian dan perpaduan.
Beliau berkata walaupun masyarakat Malaysia berbeza agama, budaya dan latar belakang, ia tidak menghalang mereka daripada hidup sebagai satu bangsa yang saling menghormati dan memahami.
“Inilah keindahan Malaysia yang kita cintai, yang kita hidup bersama dalam suasana aman dan damai. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.
“Semoga kita terus berjaya dalam memupuk perpaduan dan keharmonian serta menyebarkan semangat kasih sayang antara satu sama lain,” katanya.