KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang akauntan daripada pertuduhan menerima deposit berjumlah RM25,000 tanpa lesen sah, tiga tahun lepas.

Hakim Mohd Kafli Che Ali membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan Muhamad Zulkarnain Zulkifle, 36, berjaya menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes.

“Setelah mendengar dan menimbang keseluruhan keterangan saksi-saksi serta meneliti kesemua ekshibit-ekshibit dan nota keterangan sepanjang perbicaraan kes, mahkamah memutuskan bahawa pihak pembelaan berjaya menimbulkan suatu keraguan yang munasabah di dalam kes pendakwaan.

“Mahkamah juga mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan satu kes melampaui keraguan yang munasabah bagi pertuduhan. Oleh itu mahkamah memerintahkan tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan dihadapi dan wang jaminan RM8,000 dipulangkan kepada penjamin,” kata hakim itu.

Enam saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan termasuk tertuduh memberi keterangan pada perbicaraan kes yang bermula pada 4 Sept 2023.

Muhamad Zulkarnain didakwa menerima deposit tanpa lesen sah berjumlah RM25,000 daripada R. Ganisan, 37, di sebuah pangsapuri di Sentul di sini antara 8 pagi dan 5 petang, 9 Julai dan 10 Okt 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 137(2) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM50 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding hari ini peguam Nur Jehan Abu Bakar mewakili Muhamad Zulkarnain manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Akmalzatul Mohamed Nawi.