KUALA LUMPUR: Seorang akauntan berusia 30 tahun didenda RM3,300 oleh Mahkamah Majistret Ampang hari ini selepas mengaku bersalah merakam video rakannya sedang mandi di sebuah pangsapuri di Taman Ukay Perdana.
Muhammad Fahmi Akmal Zakaria turut diarahkan menjalani hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda.
Menurut fakta kes, mangsa yang berusia 31 tahun menyedari cahaya berkelip di rak perkakas mandi sebelum menemui kamera tersembunyi.
Siasatan mendapati peranti itu mengandungi rakaman video mangsa dalam keadaan mengaibkan. Tertuduh kemudian ditangkap pada 20 Jun lepas dengan peranti kamera, telefon bimbit, dan komputer ribanya dirampas.
Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, denda, atau kedua-duanya.
Peguam tertuduh, Mohd Azizi Darus dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), memohon hukuman denda minimum dengan alasan kliennya berpendapatan RM2,500 sebulan dan perlu menanggung keluarga.
Timbalan Pendakwa Raya Norhidayah Abdullah Sani menegaskan hukuman berbentuk pencegahan perlu diutamakan bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat. “Ini bukan gurauan. Sekiranya video tersebar, ia boleh mengaibkan mangsa,“ katanya.