KOTA TINGGI: Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 tidak mengikat dalam pelantikan hakim tetapi berfungsi sebagai mekanisme penapisan dan pencadangan calon kepada Perdana Menteri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan bahawa pelantikan hakim di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, dan Mahkamah Tinggi masih tertakluk kepada Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
“Akta JAC lebih kepada menapis, menilai dan mengatur nama calon, tetapi ia bukan akta pemuktamad. Cadangan itu tidak mengikat. Nama yang disaring JAC tetap perlu melalui prosedur di bawah Perkara 122B. Jika mahu proses JAC mengikat, Perlembagaan perlu dipinda,“ jelas Azalina kepada media sebelum merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pengerang.
Beliau turut merujuk kenyataan bekas Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dalam hansard Dewan Rakyat yang menyatakan Akta JAC sebagai peruntukan pentadbiran tanpa kuasa mengikat.
Mengenai perarakan Badan Peguam Malaysia, Azalina menyatakan ia adalah hak demokrasi asalkan dilaksanakan secara profesional dan mematuhi undang-undang.
“Kalau hendak berarak, itu hak mereka. Tapi saya yakin, sebagai peguam, mereka memahami Perkara 122B dan Akta JAC 2009,“ katanya.
Sementara itu, pelantikan pengganti jawatan tertinggi kehakiman akan diputuskan selepas Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 pada 15 hingga 17 Julai ini.
Ini berikutan gesaan PEMBELA supaya pelantikan disegerakan memandangkan beberapa hakim kanan bakal bersara tidak lama lagi. – Bernama