BANGI: Malaysia bakal menguatkuasakan Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 dalam masa terdekat selepas ia diluluskan sepenuhnya di Parlimen dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata akta berkenaan telah diwartakan dan kini hanya menunggu tarikh penguatkuasaan rasmi yang akan ditandatangani oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Azalina berkata undang-undang itu akan mula berkuat kuasa sebaik sahaja Menteri Komunikasi menandatangani perintah penguatkuasaan, sekali gus membolehkan kerajaan bertindak segera untuk menurunkan kandungan yang menyalahi undang-undang. Di bawah Akta ini, penyedia platform juga diwajibkan untuk mematuhi tanggungjawab penjagaan yang telah ditetapkan.
“Selepas itu, satu majlis bersama (Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian) akan ditubuhkan bagi mentakrifkan bentuk bahaya dalam talian,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan pelancaran Akademi Perundangan Negara (APN) di sini, hari ini.
Azalina berkata meskipun Akta Keselamatan Dalam Talian memberi tumpuan kepada kawal selia platform dan tanggungjawab digital, sebarang isu yang melibatkan kanak-kanak juga perlu dilihat melalui kerangka Akta Kanak-Kanak 2001.
Dalam perkembangan berasingan, beliau menegaskan keperluan mendesak untuk mewujudkan rangka kerja perundangan yang lebih kukuh bagi memastikan akauntabiliti korporat, khususnya dalam kes berkaitan keselamatan awam dan kecuaian pengangkutan.
Merujuk kepada nahas bas baru-baru ini yang meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Azalina menyeru agar perbincangan dasar berkaitan liabiliti korporat digerakkan, termasuk kemungkinan memperkenalkan undang-undang berkaitan pembunuhan korporat.
“Bagaimana sesebuah syarikat boleh menjalankan perniagaan tanpa dipertanggungjawabkan? Ambil contoh apa yang berlaku terhadap Air India. Jika berlaku kerosakan mekanikal, pampasan insurans sahaja tidak memadai. Mesti ada pihak yang bertanggungjawab,” tegasnya.