BALING: Seorang lelaki ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh di kawasan berbukit sewaktu memasang paip di Kampung Baru Bukit Hijau di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata pihaknya menerima panggilan pada 3.18 petang yang memaklumkan ada mangsa lemas.

“Bagaimanapun, apabila pasukan tiba di lokasi yang jaraknya kira-kira 21 kilometer dari balai pada 3.45 petang, didapati mangsa berada di kawasan parit yang agak cetek airnya.

“Mangsa dikatakan melakukan kerja memasang paip untuk pengairan pertanian di kawasan berbukit sebelum dipercayai terjatuh pada kedalaman kira-kira 15 kaki (4.5 meter) ke kawasan parit berkenaan,“ katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata mangsa dikenali sebagai Mohamad Sobri Md Nor, 59, dikatakan keluar awal pagi bagi melakukan kerja terbabit dan ketiadaannya disedari keluarga apabila tidak pulang ke rumah untuk makan tengah hari.

“Isteri dan anak (lelaki) cuba mencarinya di tempat dia memasang paip dan akhirnya menemukan mangsa di kawasan parit dalam keadaan tidak sedarkan diri. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan,” katanya.

Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada 5.47 petang.