KUALA LUMPUR: Beberapa perkara dalam Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 (PSA) masih dalam proses perincian sebelum akta itu boleh dikuatkuasakan sepenuhnya, menurut Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.
Beliau menjelaskan bahawa perkara-perkara tersebut akan dimaklumkan dan diluluskan pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Kelima Belas bagi Dewan Rakyat yang dijadualkan bermula pada 21 Julai ini.
“Insya-Allah dalam masa sebulan dua kita akan siapkan seluruh kerangka pelaksanaan. Pada minggu pertama Mesyuarat Kedua Parlimen nanti kita akan letakkan makluman ini kepada Ahli Parlimen kerana ada beberapa perkara kena dapatkan kelulusan Dewan,“ katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Perjumpaan Bersama Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Gotong-Royong Warga Parlimen Malaysia hari ini.
Pada Mac lalu, Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 telah diluluskan di Dewan Rakyat, membolehkan Perkhidmatan Parlimen memiliki autonomi dalam menentukan dasar dan tadbir urus Parlimen Malaysia selepas 33 tahun.
Kelulusan ini merupakan satu pencapaian besar dalam reformasi institusi yang diperjuangkan oleh Kerajaan MADANI, bertujuan mengembalikan pentadbiran negara ke landasan yang betul melalui penggubalan undang-undang bagi memastikan Parlimen berfungsi sebagai institusi bebas dan berdaulat.
Akta Perkhidmatan Parlimen pertama kali diperkenalkan pada 1963 sebelum dimansuhkan pada 1992.
Sementara itu, Johari menyatakan bahawa program gotong-royong hari ini merupakan inisiatif pertama seumpamanya yang bertujuan merapatkan hubungan antara warga Parlimen. Beliau berhasrat untuk mengadakan lebih banyak program serupa pada masa depan.