PUTRAJAYA: Nilai altruistik dan sifat terbuka perlu disemai serta disuburkan dalam diri setiap pemimpin muda bagi memberikan perkhidmatan terbaik dan berkesan kepada Keluarga Malaysia dan negara.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata altruistik merujuk kepada sikap lebih mengutamakan kebahagiaan dan kebajikan orang lain berbanding diri sendiri manakala sifat terbuka merupakan satu corak komunikasi berkesan.

“Sebenarnya nilai altruistik dalam kalangan pemimpin muda ini jelas dilihat semasa negara kita sedang diuji banjir besar yang mengakibatkan kemusnahan harta benda.

“Ketika ini, saya secara peribadi amatlah kagum dan terharu apabila ramai penjawat awam dan golongan belia yang sanggup berkorban masa dan tenaga untuk menjadi sukarelawan demi membantu mangsa banjir,” katanya dalam ucaptama sempena Forum Eksekutif Muda Global 2022 (FEMG22) anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha KBS Datuk M. Jana Santhiran.

Mohd Zuki berkata peranan pemimpin muda dalam memupuk nilai altruistik dan sifat terbuka juga dapat mewujudkan kestabilan serta kesejahteraan kepada Keluarga Malaysia secara amnya.

Sifat terbuka pula katanya dapat memberikan faedah berganda kepada organisasi kerana idea bernas dapat dihasilkan dan mewujudkan suasana harmoni dalam organisasi.

Selain itu, beliau berkata aspek integriti perlu dijadikan keutamaan antara lain melibatkan tiga perkara iaitu akal, nafsu dan perbuatan.

“Isu integriti adalah isu yang perlu dititikberatkan dan tidak boleh dipandang enteng kerana sekiranya perkara ini dibiarkan, maka ia akan menjadi barah yang akan merebak ke seluruh organisasi. Adalah menjadi harapan saya supaya semua pemimpin muda ini terus beriltizam menyampaikan perkhidmatan terbaik dan berintegriti,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pemimpin muda yang berkhidmat di luar negara bahawa golongan itu merupakan ‘duta kerajaan’ dan ‘diplomat’ yang menjadi cerminan kepada perkhidmatan awam di Malaysia, justeru mereka perlu menjaga tingkah laku dalam setiap perkara sehingga proses membuat sesuatu keputusan.

FEMG22 yang julung kali diadakan melibatkan penyertaan belia daripada sektor awam dan pemimpin belia pelbagai sektor bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kefahaman mengenai nilai kepimpinan dan mengukuhkan pengetahuan mengenai hala tuju dan isu semasa negara. - Bernama