KOTA TINGGI: Seorang jurulatih bola sepak hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas dua pelatihnya yang juga pelajar sekolah menengah.

Meor Azizi Zolkfle, 33 membuat pengakuan itu ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Hayda Farizal Abu Hasan.

Dia berdepan dua pertuduhan melakukan perbuatan itu ke atas seorang remaja berusia 13 tahun lima bulan di Stadium Bandar Penawar pada 9.20 malam 2 Mei lepas .

Meor Azizi juga didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja berusia 13 tahun tujuh bulan di sebuah kedai pusat sukan, Felda Sening pada 8 malam 14 Nov 2024 dan di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Adela di sini pada 7.50 malam 2 Mei lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 17 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen serta lantikan peguam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Foo Fang Leong.