• 2025-10-12 01:46 PM

DUNGUN: Seorang anggota bomba maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh seekor kerbau dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 85, Jalan Ladang Gajah Mati.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Maizura Abdul Kadir berkata Mohamad Kamil Mat Jusoh berusia 46 tahun sedang dalam perjalanan pulang ke kediamannya di Taman Selesa, Bandar Al Muktafi Billah Shah selepas menghadiri Program Hari Pencegahan Kebakaran 2025 di Kuala Terengganu.

Beliau berkata Mohamad Kamil yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat AMBS meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di beberapa bahagian badan.

“Siasatan awal mendapati motosikal jenis Kawasaki Z250 SL yang ditunggang Mohamad Kamil melanggar sekumpulan kerbau yang secara tiba-tiba melintas jalan,“ katanya dalam kenyataan.

Mangsa tidak sempat mengelak lalu terlanggar seekor daripada kerbau terbabit dalam kejadian kira-kira 7.25 malam.

Akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak dari motosikal dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat AMBS Mohd Izzuddin Mahmood berkata pemergian Mohamad Kamil disifatkan sebagai kehilangan besar kepada warga kerja di AMBS.

“Arwah seorang yang baik, mudah bekerjasama dan komited terhadap tugas,“ katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohamad Kamil telah berkhidmat di balai AMBS sejak 2005 dan sangat disenangi rakan sekerja.

Beliau dikenali sebagai seorang yang pemurah dan rajin dalam melaksanakan tugas.

Jenazah akan dibawa ke Masjid Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah untuk disolatkan.

Pengebumian akan diadakan di Tanah Perkuburan Islam Bandar AMBS. – Bernama