KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang videonya tular kerana menganiaya seekor kucing didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyeret haiwan peliharaannya, bulan lepas.
Hakim Norina Zainol Abidin menjatuhkan hukuman itu ke atas Goh Kuan Pan, 43, selepas lelaki itu selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah dan memerintahkan dia dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda.
Mahkamah turut memerintahkan kucing berkenaan diletakkan di bawah jagaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) selagi tiada permohonan mengambil semula haiwan itu oleh OKS.
Lelaki itu didakwa menyeret seekor kucing baka British Short Hair berwarna kelabu menggunakan seutas tali berwarna merah jambu, menyebabkan penderitaan tidak perlu terhadap kucing berkenaan, di laluan koridor sebuah pangsapuri, Jalan Klang Lama dekat sini antara 11.17 malam dan 11.42 malam, 21 Nov lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 44(1)(d) Akta Binatang 1953 [Akta 647] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 44(1) Akta Binatang (Pindaan) 2013 [Akta A1452] yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa JPV WPKL Syed Hilfi Syed Ali memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap OKS.
“OKS boleh mengangkat kucing itu jika ia tidak mahu berjalan. Pihak pendakwaan mohon untuk kucing dilucut hak kepada JPV sehingga berjumpa pemilik baharu yang sesuai menjaga kucing berkenaan,” kata Syed Hilfi.
Peguam Gabriel Susayan yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga.
Pada 25 Nov lepas, Bernama melaporkan polis menahan seorang lelaki di Jalan Klang Lama kerana disyaki melakukan penganiayaan terhadap seekor kucing.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata lelaki warga tempatan itu ditahan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di kediamannya pada 6.10 petang.