KUALA LUMPUR: Kecerdasan Buatan (AI) perlu dilihat sebagai alat sokongan dalam pendidikan perhubungan awam, bukan sebagai ancaman.
Namun, pelaksanaannya memerlukan garis panduan dan kurikulum khusus bagi memastikan penggunaan yang bertanggungjawab dan beretika dalam kalangan pelajar.
Ketua Pusat Komunikasi Strategik, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Wan Norbani Wan Noordin, menegaskan bahawa AI harus dianggap sebagai rakan dalam pembelajaran.
Namun, integrasinya perlu dikawal melalui pendidikan dan dasar yang jelas.
“Kita tidak boleh menghalang pelajar daripada menggunakan AI, tetapi kita boleh bimbing mereka supaya menggunakannya secara betul. Ya, AI boleh menjadi rakan tetapi sejauh mana peranan rakan itu perlu kita tentukan,” katanya semasa menjadi panel dalam sesi bertajuk AI & PR: Friend or Foe? di Persidangan Perhubungan Awam Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIP 7).
Beliau menyatakan kebimbangan terhadap kelemahan pelajar dalam menilai kesahihan sumber, walaupun berada di peringkat pengajian tinggi.
Generasi Z dan Alpha, walaupun lahir dalam era digital, masih memerlukan bimbingan etika dan alat praktikal dalam penggunaan teknologi ini.
Sementara itu, Prof. Madya Dr. Nurul’ain Mohd. Hasan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berkongsi dapatan kajian yang menunjukkan peningkatan 11 peratus dalam kefahaman pelajar terhadap konsep PR selepas menggunakan AI.
“Kita tidak mahu pelajar terlalu bergantung kepada AI tetapi perlu tahu cara menggunakannya secara bertanggungjawab.
AI adalah rakan penyelidikan, bukan ancaman kepada pendidikan,” katanya.
Namun, beliau turut mengakui kekurangan pensyarah yang mahir dalam bidang berkaitan AI seperti analitik data sebagai cabaran utama.
KLIP, yang bermula pada 2019, merupakan platform bagi profesional dan akademik untuk berkongsi perkembangan terkini dalam bidang komunikasi dan perhubungan awam. - Bernama