ALOR SETAR: Pegawai Divisyen Pembangunan Mualaf dan Dakwah Sosial, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) Mohd Naim Islam Abdullah berkata Anugerah Khas Maulidur Rasul yang diterimanya hari ini menjadi pembakar semangat untuk terus berdakwah.
Mohd Naim Islam berkata walaupun menghadapi pelbagai cabaran, namun beliau sanggup memikul tanggungjawab demi memberi pemahaman Islam kepada saudara baharu agar tidak timbul kekeliruan mengenai ajaran Islam.
“Semestinya banyak cabaran dihadapi terutama tentangan daripada keluarga mereka dan pandangan negatif tentang Islam. Alhamdulillah saya jumpa keluarga mereka dan telah memberi input kebaikan serta menjadikan diri saya sebagai contoh bahawa selepas peluk Islam saya masih ada hubungan baik dengan ibu bapa.
“Islam mengajar umatnya taat pada ibu bapa dan menjaga hubungan baik dengan keluarga. Alhamdulillah cabaran saya hadapi dengan baik dan lancar apabila mereka memahami perkara itu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Kedah di sini hari ini.
Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah berkenan berangkat ke majlis berkenaan.
Sultan Sallehuddin berkenan mengurniakan Anugerah Khas Maulidur Rasul kepada Mohd Naim Islam dan Tokoh Imam kepada Imam Masjid Jamek Al-Ikram Kampung Tualang, Yan Mokhtar Zakaria.
Mohd Naim Islam yang memeluk Islam pada Julai 1985 banyak melakukan dakwah kepada saudara baharu selain menerima jemputan menyampaikan ceramah kepada mualaf di Kedah dan Malaysia- BERNAMA