• 2025-10-10 04:00 PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di Dewan Rakyat pada jam 4.05 petang.

Anwar yang juga Menteri Kewangan membentangkan belanjawan tersebut di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.

Pembentangan belanjawan ini disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan serta laman YouTube Parlimen.

Belanjawan 2026 merupakan pembentangan kali keempat oleh Kerajaan MADANI pimpinan Anwar Ibrahim.

Ini juga merupakan belanjawan pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 yang menjadi asas utama pelaksanaan pelan pembangunan negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

Berdasarkan takwim Dewan Rakyat, Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 akan dibahaskan pada Peringkat Dasar selama lapan hari oleh Ahli-Ahli Parlimen.

Sesi penggulungan oleh kementerian akan berlangsung dari 29 Oktober hingga 4 November diikuti perbahasan pada Peringkat Jawatankuasa dari 5 hingga 27 November.

Menerusi hantaran di Facebook pagi tadi, Anwar memaklumkan belanjawan itu bukan sekadar angka dan perbelanjaan.

Beliau menekankan belanjawan tersebut sebagai hala tuju untuk memastikan kerajaan terus membantu rakyat tanpa menambah beban hutang negara.

Perdana Menteri tiba bersama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di lobi Dewan Rakyat pada 3.50 petang.

Anwar diiringi Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.

Juga hadir bersama ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz. – Bernama