• 2025-10-10 08:10 PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI memperuntukkan RM46.5 bilion kepada Kementerian Kesihatan dalam Belanjawan 2026 berbanding RM45.3 bilion pada tahun ini.

Peruntukan ini bertujuan memastikan capaian perkhidmatan kesihatan yang bermutu, adil dan mampu milik untuk semua rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan RM1.2 bilion diperuntukkan khusus untuk penyelenggaraan dan baik pulih hospital serta klinik kerajaan.

Beliau turut mengumumkan peruntukan RM100 juta untuk menaik taraf wad-wad hospital daerah di seluruh negara.

Peralatan lapuk akan diganti dengan peralatan canggih untuk disiplin baharu melalui peruntukan sebanyak RM755 juta.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan menyediakan RM650 juta untuk meningkatkan ketersambungan Internet di fasiliti kesihatan awam.

Kerajaan akan meningkatkan kerjasama menyumber luar pesakit ke hospital tentera, universiti dan swasta dengan peruntukan RM140 juta.

Peranan klinik kesihatan akan diperkasa dengan penyediaan perkhidmatan pakar menerusi peruntukan RM30 juta.

Beberapa projek pembinaan baharu akan dilaksanakan termasuk Pusat Kanser Wilayah Utara di Kedah.

Pembinaan blok tambahan di Hospital Pontian, Hospital Banting dan Hospital Sungai Buloh turut dirancang.

Pusat Jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth II dan Advanced Surgical Block di Hospital Pakar USM Kubang Kerian antara projek utama.

Sebanyak 13 klinik kesihatan baharu akan dibina di lokasi termasuk Machang, Teluk Kemang, Mukah dan Nabawan.

Pelaksanaan Pusat Kanser Negara di Kuching dan Hospital Sultanah Aminah 2 di Johor akan disegerakan.

Kerajaan meluluskan tawaran pelantikan ke jawatan tetap kepada 4,500 doktor kontrak pada tahun depan.

Sebanyak 935 graduan Institut Latihan KKM akan ditawarkan jawatan tetap sebagai jururawat.

Seramai 833 jururawat kontrak telah menerima pelantikan tetap sejak tahun ini.

Sejak 2023 hingga tahun ini, kerajaan telah meluluskan 1,500 jawatan tambahan bagi menyerap doktor kontrak ke jawatan tetap.

Sejumlah 12,900 doktor kontrak telah diserapkan ke jawatan tetap termasuk pengisian tahunan.

Kadar fi perundingan pengamal perubatan am dinaikkan kepada antara RM10 hingga RM80 berbanding RM10 hingga RM35 sebelum ini.

Kadar Elaun Tugas Atas Panggilan dinaikkan sekitar 40 peratus berkuat kuasa 1 Oktober 2025.

Doktor pakar yang bertugas atas panggilan pada hari cuti akan menerima RM350 berbanding RM250 sebelum ini.

Kenaikan ETAP ini melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM120 juta.

Kerajaan akan merintis projek usaha sama awam-swata bagi ubat-ubatan penting untuk meningkatkan keterjaminan bekalan ubat negara.

Dana bersama kerajaan dan industri sebanyak RM60 juta disediakan bagi memperkenal produk insurans asas mampu milik.

Sistem Diagnosis Related Group akan dilaksanakan untuk menangani kenaikan inflasi perubatan.

Pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM3,000 untuk premium insurans atau takaful nyawa diperluas kepada anak.

Pengecualian duti setem sepenuhnya ke atas polisi insurans atau sijil takaful dilanjutkan sehingga 2028.

Program MySalam akan diteruskan bagi membantu rakyat berpendapatan rendah.

Sebanyak RM1.2 bilion tuntutan hospitalisasi dan penyakit kritikal telah dibayar melalui MySalam.

Program MySalam telah memanfaatkan 1.7 juta penerima sejak dilaksanakan.

Hospital swasta dibenar menubuhkan Tabung Kebajikan Hospital yang diurus oleh syarikat berhad menurut jaminan.

Pencarum KWSP boleh menggunakan simpanan Akaun Sejahtera untuk melanggan pelan asas insurans atau takaful perubatan dan kesihatan. – Bernama