JASIN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas tindakan sesetengah pihak yang melontarkan pandangan berlebihan mengenai rundingan pelan damai Gaza.
Beliau berkata tindakan mengkritik pembabitan Amerika Syarikat dalam rundingan tersebut tidak membantu penyelesaian konflik antara Hamas dan Israel.
Anwar memaklumkan beliau telah berhubung dengan Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi bagi menyampaikan penghargaan atas komitmen Mesir bersama negara-negara Arab termasuk Turkiye.
“Mereka membantu sekurang-kurangnya menghentikan pengeboman dan serangan Israel ke atas Gaza,“ katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Program MADANI Rakyat 2025 Melaka.
Dalam perbincangan dengan El-Sisi, Anwar menyuarakan kebimbangan mengenai serangan di Tebing Barat.
Presiden Mesir menegaskan negara-negara Islam harus sentiasa nampak sebagai satu pasukan walaupun mempunyai keberatan terhadap penyelesaian 20 Perkara.
Anwar turut mendengar pandangan daripada Hamas yang sedang berunding dengan Israel.
“Yang kita nak lebih daripada Hamas ini sebab apa? Kita ini sikap kita kadang kala itu nak mengajar lagi sedangkan Hamas itu bertempur, ribuan dah mati,“ katanya.
Beliau mengkritik mereka yang mengatakan “jangan runding, jangan cakap dengan Amerika” dalam usaha damai tersebut.
El-Sisi menyatakan persetujuan untuk mengetengahkan perkara-perkara yang dibangkitkan Malaysia melalui persidangan pada November depan.
Anwar juga meminta laluan untuk sukarelawan Malaysia dibenarkan masuk ke Gaza dan mendapat jaminan daripada Presiden Mesir.
Rundingan pelan damai itu menyaksikan Mesir menjadi tuan rumah sidang kemuncak keamanan antarabangsa di Sharm el-Sheikh.
Trump sebelum ini mengumumkan Israel dan Hamas bersetuju melaksanakan fasa pertama pelan 20 Perkara bagi mencapai gencatan senjata di Gaza.
Pelan tersebut merangkumi pembebasan semua tawanan Israel dengan pertukaran kira-kira 2,000 tahanan Palestin.
Ia juga termasuk pengunduran berperingkat tentera Israel dari seluruh Semenanjung Gaza.
Pelan damai turut merangkumi pembentukan mekanisme pentadbiran baharu di Gaza tanpa penyertaan Hamas.
Penubuhan pasukan keselamatan yang terdiri daripada rakyat Palestin serta anggota tentera negara Arab dan Islam juga termasuk dalam pelan tersebut.
Anwar turut memaklumkan beliau menghubungi Pemangku Perdana Menteri Afghanistan Mullah Mohammad Hassan Akhund dan Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif.
Beliau menyuarakan kebimbangan terhadap peperangan di sempadan kedua-dua negara tersebut.
“Oleh kerana kita ada hubungan baik dengan kedua-dua negara, diminta kita gesa dua pihak ini cari jalan damai,“ katanya.
Anwar menekankan pentingnya komunikasi telefon dalam menyelesaikan konflik antarabangsa.
Beliau berkata komunikasi telefon telah membantu menyelesaikan konflik Kemboja-Thailand dan dimanfaatkan dalam usaha damai Qatar.
Sementara itu, Anwar menempelak tindakan pihak tertentu termasuk pembangkang yang menyerang dasar kerajaan tanpa fakta sebenar.
Beliau mengambil contoh pelaburan bagi pemuliharaan bangunan warisan termasuk Carcosa Seri Negara.
Anwar menegaskan ia bertujuan untuk memelihara khazanah warisan negara.
Dalam pembentangan Belanjawan 2026, Khazanah Nasional memperuntukkan RM600 juta untuk kerja-kerja membaik pulih Carcosa Seri Negara. – Bernama