• 2025-10-19 06:44 PM

MELAKA: Pelancaran Rancangan Strategik Menteri-Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) 2026-2030 bakal menjadi panduan utama memperkasakan kerjasama Islam serantau.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata rancangan itu membuktikan kejayaan dicapai sebelum ini dalam pelaksanaan dasar dan pengurusan institusi agama.

“Pertemuan MABIMS kali ke-21 ini bukan sekadar forum serantau tetapi ia lambang ukhuwah Islamiah dan komitmen bersama,“ katanya dalam kenyataan.

Beliau mempengerusikan Mesyuarat dan Pertemuan Tidak Rasmi MABIMS ke-21 serta pelancaran rancangan strategik tersebut di Ayer Keroh hari ini.

Turut hadir menteri-menteri agama dari Brunei, Indonesia, Singapura dan pemerhati dari Kemboja.

Pelbagai aktiviti turut diadakan termasuk Forum Perdana Ehwal Islam Serantau dan Festival Halal Antarabangsa Melaka.

Mohd Na’im menzahirkan rasa bangga dengan pertemuan tersebut dan berharap MABIMS terus menjadi platform unggul.

“Pertemuan seterusnya akan berlangsung di Brunei Darussalam pada 2027,“ katanya.

Beliau berharap pertemuan itu akan membuahkan hasil bermakna dan memberikan impak berpanjangan buat umat Islam di rantau ini. – Bernama