PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberi jaminan kawalan teknikal dan keselamatan sistem MyKad akan terus diperkukuh bagi memastikan ketepatan data dan keselamatan identiti pengguna program subsidi bersasar.
JPN sebagai agensi pembekal utama data kewarganegaraan kepada Kementerian Kewangan menegaskan semua data yang dibekalkan adalah rasmi, sah dan disemak secara berlapis melalui sistem keselamatan dalaman.
Bagaimanapun jabatan itu memandang serius aduan penyalahgunaan MyKad di peringkat penebusan bantuan dengan langkah menambah baik sistem pengesahan identiti sedang dilaksanakan bersama MOF.
“JPN juga menegaskan bahawa penambahbaikan sistem kini dilaksanakan dengan memberikan keutamaan kepada ketepatan data dan keselamatan pengguna MyKad,“ menurut kenyataan JPN.
Pemadanan dan kemas kini data MyKad serta versi cip terkini antara JPN dan MOF akan dilaksanakan lebih kerap bagi memastikan maklumat penerima sentiasa tepat dan terkini.
MOF dan JPN turut menetapkan agar laporan polis perlu dibuat penerima bantuan sekiranya mendapati MyKad mereka disalah guna bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
“Jabatan ini kekal komited untuk menyokong dasar Kerajaan Madani dalam memastikan subsidi dan bantuan kerajaan sampai kepada penerima yang benar-benar layak,“ menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya mengambil maklum berlaku penyalahgunaan MyKad untuk menebus bantuan SARA oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Siasatan menyeluruh akan dilaksanakan JPN dan MOF bagi menangani isu tersebut. – Bernama