KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan jumlah peruntukan yang diterima sesuatu kumpulan masyarakat tidak harus dijadikan polemik kerana setiap pembangunan dilaksanakan secara adil dan saksama menerusi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Membentangkan usul RMK13 di Dewan Negara hari ini, Anwar berkata kerajaan MADANI sentiasa komited memastikan setiap kaum termasuk Melayu, Cina, India, bumiputera Sabah dan Sarawak, Orang Asli, wanita, Orang Kurang Upaya (OKU) dan belia menerima manfaat mengikut keperluan.
“Saya sangat tidak senang dengan polemik sedemikian kerana ia memberikan gambaran seolah-olah orang Melayu sudah selesa... begitu juga masyarakat India atau Cina.
“Maka, jangan pertikai apabila sesuatu kaum menerima manfaat lebih tinggi. Itu berdasarkan keperluan, bukan kaum. Kalau nak minta kemudahan untuk masyarakat India, silakan. Orang Melayu majoriti di negara ini dan yang miskin majoritinya juga Melayu. Jadi sebab itu kita harus berikan tumpuan,“ katanya.
Beliau berkata contohnya, peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang disalurkan secara inklusif, hampir 57 peratus penerima adalah kaum Melayu, manakala Bumiputera Sabah 7.57 peratus dan Bumiputera Sarawak pula 6.23 peratus.
Pada masa sama, beliau berkata masyarakat India pula menerima bantuan melalui pelbagai saluran, termasuk STR dan SARA sebanyak RM972 juta dan jaminan perumahan RM2.5 bilion.
Semasa membentangkan usul itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menggariskan sembilan prakarsa utama RMK13 termasuk pemerkasaan sosial berteraskan insan MADANI, kos sara hidup, pemerataan agihan ekonomi, pemulihan pendidikan dan perumahan rakyat.
Selain itu, ia turut melibatkan pembangunan wilayah dan desa, daya saing industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) serta pelaksanaan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta perkhidmatan kerajaan telus, tangkas dan tuntas.
Sementara itu, Anwar berkata usul pelaksanaan RMK13 yang dibentangkan hari ini akan dipantau secara berterusan bagi memastikan setiap projek dan inisiatif memberi impak nyata kepada rakyat.
Beliau tidak mahu RMK13 sekadar menjadi dokumen perancangan, sebaliknya perlu menjadi pelan tindakan yang dapat dilaksanakan secara berkesan dan telus- BERNAMA